Kuala Lumpur, 9 Mac 2024 – Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan FGV Holdings Berhad (FGV) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sokongan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam penggunaan logo MSPO di produk SAJI dan mempromosi kesedaran terhadap usaha kemampanan dalam industri sawit negara.
Ia sebagai jalinan kerjasama antara MSPO dan FGV dalam mempromosi silang, menukar maklumat sekali gus meneroka peluang baharu dan inisiatif berkaitan kemampanan dalam industri minyak sawit dan halal. Minyak Masak SAJI mula diperkenalkan di pasaran pada tahun 2000 dan kini berbangga dapat bekerjasama dengan MSPO dalam menjadi antara syarikat terawal yang menggunakan logo pensijilan MSPO di label Minyak Masak SAJI.
Dalam pada masa yang sama, Minyak Masak SAJI beserta label baharu dengan logo MSPO turut dilancarkan. Dengan adanya logo MSPO di label Minyak Masak SAJI ini, FGV akan terus dapat mengukuhkan kedudukannya di pasaran antarabangsa dan sekaligus meneroka peluang pasaran baharu di dalam dan di luar negara.
Terdapat pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang majlis pelancaran ini berlangsung seperti demo masakan daripada Chef Asma dengan menggunakan produk-produk SAJI, food sampling Ketupat Mini SAJI dengan kuah kacang, Teh Tarik SAJI dan harga promosi yang cukup menarik ditawarkan di AeonBig, Wangsa Maju.