Skip Ribbon Commands
Skip to main content

:

Delima kian agresif

Contact Us | Internal
 
 
Delima kian agresif
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Delima Oil Products Sdn. Bhd. (Delima) menyasarkan keuntungan sebelum cukai melepasi paras RM300 juta dalam tempoh lima tahun lagi dengan mempelbagaikan produk yang ditawarkan kepada pengguna pada setiap tahun.
 
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Arshad berkata, syarikat kini agresif membangunkan pelbagai produk premium dalam usaha memberi nilai kepada produk-produk sedia ada selain menumpukan produk-produk hiliran pengguna berasaskan minyak sawit.
 
Delima yang dimiliki Felda sepenuhnya itu kini mengeluarkan minyak masak jenama Saji, Tiara dan Tiga Udang, Marjerin Seri Pelangi, minyak sapi, lelemak, lemak doh dan salut lemak bagi kegunaan pengguna dan industri.
 
Terbaharu, syarikat itu telah melancarkan empat perisa mi segera, susu pekat, susu cair dan mayonis di bawah jenama Saji.
 
Produk Delima bukan hanya dipasarkan di dalam negara tetapi juga di rantau ini.
 
Zakaria yakin sasaran keuntungan itu mampu dicapai berikutan usaha yang dilakukan Delima untuk menumpukan kepada pelaburan penjenamaan, peralatan, teknikal serta pengiklanan dan promosi.
 
Tahun ini, kata beliau, Delima telah membelanjakan RM50 juta bagi modal perbelanjaan.
 
Beliau berkata, syarikat mengunjurkan produk-produk terbaharu itu akan memberi sumbangan tambahan sebanyak RM100 juta kepada perolehannya tahun ini.
 
''Sejak ia dilancarkan pada Mei lalu, produk-produk terbaharu ini telah menyaksikan jualan yang kukuh dan mencatatkan peningkatan jumlah dagangan 50 peratus sebulan.
 
''Berikutan itu, kami yakin mampu meraih perolehan sebanyak RM700 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM12 juta dan RM15 juta menjelang akhir tahun ini.
 
''Malah, kami menyasarkan perolehan ini meningkat antara 10 hingga 20 peratus setiap tahun," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.
 
Zakaria berkata, produk-produk makanan keluaran syarikat setakat ini mencatatkan kadar penguasaan pasaran sehingga 70 peratus melalui 6,000 buah kedai.
 
''Kami menjangkakan penguasaan 30 peratus lagi selepas sambutan Hari Raya nanti," kata beliau.
 
Selain pasar raya dan kedai-kedai runcit, Delima juga sedang mengukuhkan penggunaan produk-produk terbaharu itu di hotel, kafeteria dan restoran.
 
Beliau berkata, pihaknya akan memastikan produk keluarannya menguasai kedudukan kedua terbaik dalam persaingan bagi tempoh tiga atau empat tahun lagi.
 
Zakaria percaya produk-produk Delima mampu bersaing setelah dibuktikan oleh minyak masak Saji yang menjadi pilihan ramai dengan penguasaan pasaran sebanyak 30 peratus.
 
''Produk-produk kami bukan sahaja berkualiti tinggi, berstatus halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), malah harganya cukup kompetitif berbanding produk yang sama,'' ujar beliau.
 
Kata Zakaria, produk-produk Delima sudah pun menembusi pasaran Myanmar dan bakal ke negara-negara ASEAN, seperti yang dirancangkan oleh syarikat itu.
Visitor: Web Counter